Tuesday, November 16, 2010

Pembebasan Suu Kyi Beri Harapan Pada ASEAN


Pembebasan Daw Aung San Suu Kyi oleh rejim junta tentera Myanmar setelah merengkok dalam tahanan selama lebih 15 tahun disambut baik para pejuang dan aktivis demokrasi seluruh dunia.

Suu Kyi merupakan ikon hak asasi dan demokrasi yang tidak pernah luntur tekad dan azam beliau dalam perjuangan untuk menegakkan demokrasi di Myanmar.

Masyarakat antarabangsa mendesak pemerintah junta tentera Myanmar supaya menghormati hak asasi Suu Kyi dan kebebasan beliau untuk bersuara, bergerak bebas dan berpolitik.

Kita mahu melihat supaya Myanmar menghormati hak asasi dengan membebaskan semua tahanan politik, menguatkuasakan gencatan senjata dan pada masa sama semua pihak menghentikan aktiviti subversif yang boleh mengancam kedaulatan Myanmar.

Kesemua pihak termasuk kerajaan baru, Suu Kyo dan kumpulan-kumpulan etnik harus berkompromi dalam semangat untuk membangunkan ekonomi Myanmar dan menyumbang kea rah kestabilan rantau.

Kerajaan baru perlu mengambil semua langkah yang perlu untuk menubuhkan satu kerajaan campuran yang bersatu padu.

Rejim junta tentera harus menghormati hak demokrasi rakyat Myanmar dan tidak mengulangi tindakan tidak bermaruah seperti pembatalan kemenangan besar parti pimpinan Suu Kyi, National League for Democracy (NLD) dalam pilihanraya Myanmar pada tahun 1990.

Myanmar harus mengambil peluang keemasan ini untuk bersama-sama mendakap demokrasi demi kesejahteraan rakyatnya.

Adalah diharapkan dengan pembebasan Suu Kyi, Myanmar akan membuka satu lembaran baru dalam sejarah negara Myanmar kerana terbukti dasar yang memencilkan negara tersebut dari arus perdana hanya membebankan rakyatnya sendiri dan membantutkan kemajuan Myanmar itu sendiri.

Negara-negara ASEAN perlu mendukung Myanmar dalam usaha negara tersebut untuk maju secara politik, ekonomi dan sosial bersama-sama seluruh rantau ini.

Saya cukup yakin ASEAN memerlukan negara Myanmar yang utuh dan Pejabat Setiausaha Agung ASEAN harus menghulurkan bantuan dan khidmat nasihat untuk membantu Myanmar meneruskan reformasi institusi politik, ekonomi dan sosial bagi membina Myanmar yang moden, maju dan demokratik.

Adalah menjadi harapan pejuang, pencinta dan aktivis demokrasi agar Myanmar dan ASEAN bersama-sama mengorak langkah dengan lebih berkeyakinan untuk menghadapi dunia global yang tampak mencabar.

Kestabilan ASEAN dan kemajuan rantau ini akan mampu dipacu oleh negara Myanmar yang aman damai serta mengamalkan dasar luar yang terbuka serta inklusif.



MOHAMED AZMIN ALI
16 November 2010

No comments:

Post a Comment