Wednesday, November 17, 2010

Semangat Pengorbanan Eidul Adha dan Kepatuhan Kepada Allah S.W.T.

Hari kebesaran bagi umat Islam, Eidul Adha, membawa makna yang cukup besar serta menuntut kefahaman yang mendalam dalam usaha kita mencari keredhaan Allah S.W.T.

Kita harus mengambil iktibar dan pengajaran daripada sirah peristiwa Nabi Ibrahim A.S. dalam menjalankan perintah Allah S.W.T. supaya mengorbankan anaknya, Nabi Ismail A.S.

Islam menganjurkan agar kita menjaga hubungan kita dengan Maha Pencipta terutama berkaitan rezeki yang halal dan berkat, juga patuh dalam menjalankan perintah-Nya serta mengawal diri daripada melakukan hal yang dilarang-Nya. Semangat pengorbanan dengan kepatuhan kepada Allah S.W.T. inilah yang perlu kita junjung.

Umat Islam juga dituntut untuk mengenal erti sebenar pengorbanan, bukan sahaja dari segi material tetapi juga menerusi usaha, keringat, akal serta doa.

Sebagai manusia, kita tidak lepas dari lalai dan leka walau hanya seketika. InsyaAllah, moga kita mendapat rahmat daripada-Nya. Justeru itu, marilah kita merayakan Eidul Adha ini dengan penuh keinsafan, kegembiraan dan ketakwaan.

Jazakumullahu Khairan Katsiran.


MOHAMED AZMIN ALI
10 Zulhijjah 1431
17 November 2010

Tuesday, November 16, 2010

Pembebasan Suu Kyi Beri Harapan Pada ASEAN


Pembebasan Daw Aung San Suu Kyi oleh rejim junta tentera Myanmar setelah merengkok dalam tahanan selama lebih 15 tahun disambut baik para pejuang dan aktivis demokrasi seluruh dunia.

Suu Kyi merupakan ikon hak asasi dan demokrasi yang tidak pernah luntur tekad dan azam beliau dalam perjuangan untuk menegakkan demokrasi di Myanmar.

Masyarakat antarabangsa mendesak pemerintah junta tentera Myanmar supaya menghormati hak asasi Suu Kyi dan kebebasan beliau untuk bersuara, bergerak bebas dan berpolitik.

Kita mahu melihat supaya Myanmar menghormati hak asasi dengan membebaskan semua tahanan politik, menguatkuasakan gencatan senjata dan pada masa sama semua pihak menghentikan aktiviti subversif yang boleh mengancam kedaulatan Myanmar.

Kesemua pihak termasuk kerajaan baru, Suu Kyo dan kumpulan-kumpulan etnik harus berkompromi dalam semangat untuk membangunkan ekonomi Myanmar dan menyumbang kea rah kestabilan rantau.

Kerajaan baru perlu mengambil semua langkah yang perlu untuk menubuhkan satu kerajaan campuran yang bersatu padu.

Rejim junta tentera harus menghormati hak demokrasi rakyat Myanmar dan tidak mengulangi tindakan tidak bermaruah seperti pembatalan kemenangan besar parti pimpinan Suu Kyi, National League for Democracy (NLD) dalam pilihanraya Myanmar pada tahun 1990.

Myanmar harus mengambil peluang keemasan ini untuk bersama-sama mendakap demokrasi demi kesejahteraan rakyatnya.

Adalah diharapkan dengan pembebasan Suu Kyi, Myanmar akan membuka satu lembaran baru dalam sejarah negara Myanmar kerana terbukti dasar yang memencilkan negara tersebut dari arus perdana hanya membebankan rakyatnya sendiri dan membantutkan kemajuan Myanmar itu sendiri.

Negara-negara ASEAN perlu mendukung Myanmar dalam usaha negara tersebut untuk maju secara politik, ekonomi dan sosial bersama-sama seluruh rantau ini.

Saya cukup yakin ASEAN memerlukan negara Myanmar yang utuh dan Pejabat Setiausaha Agung ASEAN harus menghulurkan bantuan dan khidmat nasihat untuk membantu Myanmar meneruskan reformasi institusi politik, ekonomi dan sosial bagi membina Myanmar yang moden, maju dan demokratik.

Adalah menjadi harapan pejuang, pencinta dan aktivis demokrasi agar Myanmar dan ASEAN bersama-sama mengorak langkah dengan lebih berkeyakinan untuk menghadapi dunia global yang tampak mencabar.

Kestabilan ASEAN dan kemajuan rantau ini akan mampu dipacu oleh negara Myanmar yang aman damai serta mengamalkan dasar luar yang terbuka serta inklusif.



MOHAMED AZMIN ALI
16 November 2010

Thursday, November 4, 2010

Calon Timbalan Presiden Yb Azmin Ali

Diwali dan Reformasi

Selain kuih maruku dan gerak tari seiring serta hiasan yang berwarna-warni, Deepavali membawa maksud yang berpaksi pada soal kebebasan, keadilan dan kebenaran. Secara literal, 'Diwali' itu ertinya ‘barisan pelita’ dan seterusnya diangkat sebagai pesta cahaya. Menurut legenda Hindu, asal perayaan ini lahir dari peristiwa pertarungan Maha Krishnan yang telah berjaya mengalahkan Raja Naragasura, seorang devaraja yang kejam dan gemar memeras dan menindas rakyatnya. Perayaan kemenangan itu, disambut dengan hiasan pelbagai warna serta cahaya lampu yang cerah dan terang. Intipatinya adalah kebaikan mengatasi kejahatan.

Deepavali mengundang kita sebagai rakyat Malaysia untuk meraikan pluralisme dan menuntut kita untuk memahami kepercayaan agama jiran tetangga. Ini merupakan asas penting supaya kemajmukan itu menjadi teras kekuatan dan toleransi menjadi kelaziman masyarakat. Semoga negara kita akan maju ke hadapan meninggalkan politik lapuk etnosentrik.

Reformasi Menuju Putrajaya membawa maksud dan semangat yang sama. Ianya mengajak masyarakat bergerak bersama-sama dengan Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat melaksanakan reformasi dalam perjalanan menuju ke Putrajaya untuk menjulang keadilan dan kebenaran.

Selari dengan semangat menentang kezaliman, keazaman menuntut kebaikan perlu diteruskan. Kita memerlukan pemerkasaan dan pemberdayaan untuk bersiap siaga mendepani cabaran yang mendatang.

Justeru itu, ayuh kita bangkit dan angkat martabat, darjat dan harakat rakyat ke tingkat yang lebih bermaruah.

Bersama kita meneruskan agenda Reformasi Menuju Putrajaya.

Selamat Menyambut Diwali.

Mohamed Azmin Ali
5 November 2010

Makmurkan Amalan Demokrasi dengan Etika - Azmin Ali



" Meyakinkan saya bahawa prinsip dan amalan demokrasi amat subur dalam KEADILAN.Saya sendiri berpegang teguh kepada prinsip ini dan menyeru ahli-ahli parti untuk memakmurkan amalan demokrasi dalam parti dan menjaga etika dalam proses ini.Saya percaya penyataan sokongan yang saya terima di atas sumbangan saya dan rekod kerja saya dalam usaha memperkasakan parti dari awal penubuhan KEADILAN pada tahun 1999 "- Azmin Ali

Wednesday, November 3, 2010

Pidato Penerimaan Pencalonan dan Pelancaran Manifesto “Reformasi Menuju Putrajaya”

Izinkan saya merakamkan ucapan penghargaan buat seluruh anggota Parti Keadilan Rakyat yang telah bersama-sama memastikan Pemilihan 2010 ini dapat dilangsungkan sesuai dengan iltizam kita untuk menyuburkan demokrasi.
Ucapan penghargaan juga buat seluruh penyokong saya dari Perlis hingga ke Johor, dari Kelantan hingga ke Melaka, dan yang mendokong saya di Tanah Borneo; dari Sabah dan Sarawak.

Tahniah kepada mereka yang layak bertanding dan saya ucapkan selamat maju jaya. Moga tetap menjaga etika ketika bertanding dan tidak lupa diri bahawa kita bertanggungjawab menjaga keutuhan parti serta nama baik parti.

Benar kita meraikan Demokrasi, kerana itu walaupun mempunyai hambatan serta kekangan tertentu untuk melaksanakan pemilihan secara terus yang bersejarah ini, parti tetap berteguh mahu melaksanakannya serta menjadikan parti kita parti yang paling demokratik di negara ini.

Kita bertegas mengambil satu pendirian yang berani kerana kita sedar, pemilihan ini akan menjadi pemangkin kepada perubahan yang mahu kita laksanakan.

Demokrasi dan kebenaran bukan milik mutlak pemerintah atau kepimpinan sesebuah organisasi, oleh itu mereka tidak berhak untuk menentukan tahap kebebasan yang diberikan. Pun begitu demokrasi bukanlah tanpa kesetiaan dan tanggungjawab. Demokrasi dan kebebasan membawa maksud anggota KEADILAN mesti berpegang teguh kepada nilai, prinsip moral serta falsafah perjuangan.

KEADILAN Untuk Semua
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menempa sejarah dalam usia yang cukup muda di persada politik negara.
Sejarah parti walau singkat dan penuh ranjau perlu dijadikan iktibar kepada semua anggota parti bermula daripada kelahiran Parti Keadilan Nasional pada 4 April 1999 sehingga kepada percantuman dengan Parti Rakyat Malaysia pada 3 Ogos 2003 membentuk Parti Keadilan Rakyat. Walaupun ada pasang surutnya, KEADILAN tidak pernah berganjak untuk menjana reformasi ke arah perjuangan untuk demokrasi, hak asasi dan urus tadbir kerajaan yang baik.

Sungguhpun begitu perjuangan untuk menyuburkan demokrasi ini haruslah difahami tuntutan asasnya. Kita yakin untuk memperjuangkan demokrasi kerana ia menjamin tata kemasyarakatan dan pada masa yang sama memastikan pemerintah tidak sewenang-wenangnya bertindak menurut nafsu.

Kita tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pihak yang bertindak menzalimi rakyat sekaligus merendah rendahkan martabat insan. Salah satu teras dalam manifesto saya bahkan beriltizam memperkukuh human dignity atau karamah insaniah ini.

Kita tegaskan demokrasi yang kita perjuangkan ini sememangnya ditunjangi konsep kemuliaan darjat insan itu. Ini sesuai dengan ayat quran surah al isra’ ayat 70 yang bermaksud “Sesungguhnya telah aku muliakan Bani Adam”
Tuntutan mengangkat harakat insan ini hakikatnya dikongsi pelbagai peradaban. Pico Mirandola misalnya , seorang humanis asal Kota Florence, diiktiraf antara mereka yang mencetus sekaligus menyuntik inspirasi zaman Renaissance di Eropah, mengungkapkannya dalam pidatonya yang terkenal:
Sudah saya baca Bapak yang mulia, dalam karya orang arab, apabila Abdullah si arab ditanya apakah yang dianggapnya paling dikaguminya di pentas dunia, maka beliau menjawab, tiada yang lebih dikagumi daripada manusia (nihil spectari homine admirabilius)

Tolak Politik Perkauman
Harga dan nilai darjat martabat dan harakat manusia itu bukan diukur pada warna kulit, tidak pula diukur kepada kekayaan harta benda, bukan berpaksi kepada gender dan sudah pasti tidak dinilai pada keturunan. Prinsip ini turut diungkapkan oleh Martin Luther King, “A nation where its people will not be measured by the color of their skin but by the content of their character.”

Saidina Ali Karamallahu Wajhah malah apabila ditanya, mengungkapkan perihal dua bentuk persaudaraan. Pertamanya persaudaraan sesama muslim iaitu “Akhukum fil Islam.” Namun apabila ditanya apakah jenis persaudaraan antara orang Islam dengan bukan Islam. Beliau jawab “Akhukum fil Insaniah” – mereka, yang bukan Islam, adalah saudara kamu dalam kemanusiaan. sesama insan: Akhukum fil Insaniah yang mana turut bergema dalam tradisi tamil: ontre kulam oruvane thevan( satu jiwa kerana kemanusiaan) dan juga dalam tradisi cina yang diungkapkan oleh mahaguru Kung dalam kitab Lun Yu,si hai zhi nie jie xiong di yang membawa maksud (empat lautan terbentang luas, semua manusia bersaudara)
Nilai kemanusiaan bersandar kepada maruah dan harga diri; prinsip inilah yang dijunjung oleh parti yang mendasari 17 Perkara Matlamat dan Asas Perjuangan Politik Parti. Di atas kesedaran inilah, dan sebagai anggota parti yang bertanggungjawab kita harus junjung dan mengangkat prinsip ini dengan seluruh tenaga dan daya komitmen kita.

Kita juga tidak akan berkompromi dengan “Terorisma Kaum” atau “Racial Terrorism” seperti yang dianjurkan oleh sesetengah organisasi yang berfahaman politik perkauman sempit. KEADILAN tuntas menolak politik sempit sebegitu. 

Kita mahu seluruh rakyat tanpa mengira ras dan kepercayaan dilindungi dan mereka punyai hak ke atas Life, Liberty and the pursuit of Happiness- sepertimana yang dinukil Thomas Jefferson dalam Declaration of Independence.

Kita juga perihatin terhadap nasib yang menimpa peneroka-peneroka Felda, golongan miskin bandar, penoreh-penoreh getah di estet, kemiskinan Bumiputra Sabah dan Sarawak serta rintihan Orang Asal. Kita yakin semua kebejatan itu hanya akan sirna jika kita menghormati harakat kemuliaan mereka.

Konsep lita’arafu di dalam Islam mempertegaskan bahawa manusia itu berbeza-beza dan Islam menganjurkan agar kita saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Dengan sikap memahami orang lain, kita akan mudah menghargai dan juga memuliakannya sebagai anak cucu Adam walaupun berbeza dengan kita. KEADILAN sebagai sebuah parti yang anggotanya terdiri dari pelbagai latar budaya dan kepercayaan sememangnya tuntas meraikan kepelbagaian, dan ini adalah antara sumber kekuatan perjuangan kita ini.

KEADILAN tuntas untuk memansuhkan Akta-Akta zalim dan mengongkong seperti ISA, Percetakan, Hasutan, Rahsia Rasmi, AUKU dan sebagainya. Kita beriltizam untuk memastikan undang-undang seperti yang akan menyuburkan demokrasi dan memakmurkan hak asasi seperti Akta Kebebasan Maklumat diperkenalkan demi memerangi salah guna kuasa yang berleluasa.

KEADILAN juga sedar akan wahana baru yang begitu berkesan menyebar serta menyampaikan maklumat kepada khalayak. Wahana seperti Blog, Twitter, Facebook dan laman berita kini bersaing dengan media arus perdana kerana rakyat dahagakan maklumat yang tepat dan benar. Justeru saya bertekad untuk membina jaringan kerja yang lebih berkesan dengan warga bloggers untuk bersama membina sebuah masyarakat yang bermaklumat.

Idealisme, Kesetiaan dan Organisasi
Saya telah mengungkapkan mengenai peri pentingnya kita menggilap kembali idealisme perjuangan parti. Perjuangan dan Gerakan Reformasi yang dipimpin Anwar Ibrahim perlu digilap sehingga tiba di kemuncak; KEADILAN kini di ambang Putrajaya.

Dengan pimpinan Ketua Umum, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, The Greatest Malaysian Renaissance Man, inshaallah kemenangan milik kita. Dato’ Seri Anwar sebagai tokoh yang dikenali dengan julukan insan mutaffanin, multi dimensional man, telah berulang kali memperlihatkan keteguhan serta kesabaran menghadapi mehnah dan tantangan. Ianya sewajarnya menjadi iktibar kepada kita untuk terus berusaha dan tidak cepat putus asa tatkala berjuang membawa perubahan.

Oleh itu, kita tidak boleh leka dan complacent dengan apa yang telah kita capai dalam Pilihanraya Umum ke-12 sewaktu Tsunami Politik melanda.Kita mesti menumpukan upaya dan gerak kerja untuk mempertahankan kemenangan kerana ianya lebih mencabar dari mengejar kemenangan itu sendiri.

Ramai anggota parti yang melalui saat pahit perjuangan dan ada juga dua tiga kerat yang gugur di tengah jalan meninggalkan perjuangan dan parti. Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab parti untuk menerapkan agenda dan matlamat perjuangan parti agar dapat difahamai dan dihadham oleh semua anggota.

KEADILAN yang kita mahu adalah KEADILAN dengan anggota yang komited kepada perjuangan, tabah dalam menghadapi dugaan dan cabaran serta berwibawa dibandingkan dengan kawan dan lawan.

Kita tidak mahu imej parti yang tercalar dengan mereka yang tidak menghormati disiplin dan etika parti; kita juga resah apabila parti dimomok oleh anggota dan pemimpin yang memburuk-burukkan parti di khalayak umum; dan sesungguhnya kita jelek dengan anggota dan pemimpin yang melompat keluar parti atas alasan dangkal serta didorong oleh sogokan dan imbuhan rasuah politik.

Jika anggota parti ditarbiyah dan dilatih dengan idealisme yang mencerahkan dan dipupuk kesetiaannya terhadap parti maka struktur dan organisasi parti akan tumbuh mengakar dan subur gagah lagi perkasa. Latihan yang kita terapkan pastinya berusaha memperkasa perjuangan yang ditunjangi dengan kerohanian dan prinsip moral.

Dalam usaha Ahli-Ahli Parlimen, Ahli-Ahli Dewan Negeri, Ahli-Ahli Majlis, Cabang-Cabang serta Pusat Khidmat Masyarakat KEADILAN untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat, maka infrastruktur parti harus diperkukuhkan dengan peningkatan tahap penyelidikan dan pembangunan parti. Tidak cukup dengan itu, kelengkapan serta kemudahan institusi parti harus dilengkapkan melalui dokongan pusat.

Parti akan berkembang sekiranya sumber tenaga manusia dan potensinya diperkembangkan, talent must be retained, recruited and depth within the party need to be expanded. Mereka yang berkongsi idealisme parti serta mempunyai kebolehan dan kemampuan harus diserap dan direkrut untuk membantu mengangkat parti dan Kerajaan Pakatan Rakyat di posisi strategik dan penting.

KEADILAN inilah yang setiap anggota mahukan dan KEADILAN inilah yang setiap rakyat Malaysia impikan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara dengan kerjasama parti-parti komponen Pakatan Rakyat.

Agenda Borneo
KEADILAN tuntas untuk memenuhi maksud serta makna sebenar Watikah Permasyhuran Malaysia yang ditandatangani pada 16 September 1963. Kita berhasrat memperbetulkan kembali pengkhianatan yang terjadi dan adalah menjadi tanggungjawab anggota parti merenungi hasrat permahsyuran tersebut.

Kita wajib perbetulkan fakta sejarah ini, kita juga harus berikan hak rakyat Sabah dan Sarawak seperti yang sepatutnya mereka terima. Mereka bersetuju untuk bergabung dengan Semenanjung untuk menikmati kemerdekaan yang bermaruah dan kehidupan yang lebih bermakna. Justeru saya tuntas mengulangi keputusan yang dibuat Pakatan Rakyat agar Sabah dan Sarawak diberi kuasa otonomi sejajar dengan semangat permahsyuran Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka tidak bersetuju dengan Kerajaan Pusat yang terus merobek dan menggali minyak dan gas dengan hanya diberi ihsan atau token yang tidak adil. Mereka tidak bersetuju dengan Kerajaan Pusat menempatkan Pegawai Pembangunan dan Pegawai Kewangan serta pegawai-pegawai tadbir daripada Pusat dan bukan daripada anak tempatan.

Sudah sampai masanya, Perjanjian 20 Perkara (Sabah) dan 18 Perkara (Sarawak) dikaji semula dengan hasrat untuk mengembalikan hak rakyat Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat Permasyhuran Malaysia. Saya bertekad untuk berjuang demi membela hak rakyat Sabah dan Sarawak, dan penerangan ini akan diberikan secukupnya pilihanraya kecil Parlimen Batu Sapi nanti dan Pilihanraya DUN Sarawak yang bakal menyusul.

Pakatan Rakyat
Pasca Mac 2008, permuafakatan di antara KEADILAN, PAS dan DAP dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Permuafakatan ini bersama menggembeling daya dan upaya untuk membawa perubahan demi kemaslahatan rakyat keseluruhannya.
Maka, Konvensyen Pakatan Rakyat yang telah selamat bersidang pada 19 Disember 2009 adalah satu titik tolak dalam era kerjasama yang lebih jitu dan bermakna. Pakatan Rakyat adalah satu partnership of equals dan bukan dominasi satu parti seperti UMNO dalam Barisan Nasional. Konvensyen tersebut berjaya menghasilkan Agenda Bersama Pakatan Rakyat, suatu kebijakan yang digarap teliti untuk mengangkat martabat rakyat dan negara ini.

KEADILAN tidak akan mampu untuk mentadbir negara ini tanpa kerjasama dan bantuan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Ini adalah hakikat dan ini adalah realiti. Kerana itu kita mengalu-alukan dan menganjurkan kerjasama serta berjuang dalam rangka permuafakatan Pakatan Rakyat, yang ternyata lebih erat dan padu.

Oleh demikian saya berazam untuk bersama-sama menganjurkan siri-siri wacana Pakatan Rakyat berkaitan kebijakan-kebijakan yang dicurahkan ke dalam Agenda Bersama tersebut. Penumpuan pastinya ditumpukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi, memulihkan kelesuan pendidikan serta budaya. Selain itu adalah menjadi tanggungjawab Pakatan Rakyat untuk memulihkan kembali semangat federalisme yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita.
Ideologi parti yang berbeza memungkinkan Pakatan Rakyat untuk mencakupi dan mewakili rakyat terbanyak yang berlainan fahaman dan pegangan. Pakatan Rakyat berkembang pesat dan maju didorong oleh keinginan rakyat untuk merubah demi kebaikan.

Rakyat memberi kita peluang untuk membuktikan bahawa kita tidak akan mengkhianati amanah mereka dan kita tidak punya peluang untuk menghampakan mereka. Justeru itu, KEADILAN serta rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat tidak boleh tidak harus mengotakan janji dan berjuang demi rakyat. Kerajaan-Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat harus dilihat sebagai model pentadbiran dengan urus tadbir yang berhemah serta berupaya memacu pembangunan ekonomi yang memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Pemilihan Kepimpinan 2010
Saya bertekad untuk bekerja dalam keluarga besar KEADILAN demi mencapai matlamat dan agenda perjuangan parti. Saya menaruh kepercayaan yang tinggi dengan kebijaksanaan para anggota untuk memilih dengan bertanggungjawab dan penuh hikmah.

Bersempena ini saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada sekretariat dan JPP yang bertungkus lumus menjayakan Pemilihan 2010 yang begitu bersejarah ini.

Anggota parti mahu pimpinan yang dinamik dan progresif serta komited kepada perjuangan. Parti memerlukan pimpinan yang tidak berpuak-puak dan menurut semangat berpasukan. Para anggota juga mahu pimpinan yang tidak akan memalukan parti serta menurut disiplin serta etika parti.

Justeru dengan amanah yang diberikan menerusi pencalonan cabang-cabang, dengan lafaz kalimah suci Bismillahi Rahmani Rahim, saya Mohamed Azmin Ali bersetuju menerima pencalonan untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan Kepimpinan KEADILAN 2010.

Saya memohon anggota parti yang ada dalam dewan ini untuk bersama-sama dengan saya berikrar setia dengan satu ikrar yang mampu kita, insya Allah, lakukan:

Saya berikrar membina Parti Keadilan Rakyat menjadi parti politik terbesar di Malaysia. Kita mahu KEADILAN menjadi parti terbesar bukan sahaja dari segi angka bilangan anggota. Kita mahu sebuah parti yang berdisiplin, anggotanya berakhlak tinggi dan berilmu.

Saya berikrar membawa Reformasi ke Putrajaya. Saya tidak mahu kita ke Putrajaya hanya semata-mata untuk mengambil alih tampuk kekuasan negara. Kita mahu ke Putrajaya untuk melakukan reformasi total, reformasi menyeluruh – reformasi undang-undang, reformasi ekonomi, reformasi pentadbiran, reformasi pendidikan dan reformasi sosial. Saya bertekad untuk membina Parti Keadilan Rakyat yang bukan sahaja berfungsi sebagai sebuah parti politik yang hanya mahu memenangi pilihanraya, namun menjadi wahana pendidikan serta pencerahan politik di negara ini.

Saya berikrar dengan segenap daya dan upaya saya untuk memastikan Ketua Umum, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak akan penjarakan sekali lagi. Sekiranya dia boleh dimangsakan oleh mereka yang rakus, apatah lagi kita rakyat biasa. Justeru usaha mestilah digembeling, antaranya untuk memastikan sebuah sistem kehakiman yang bebas dan pasukan polis yang berintegriti.

Akhir sekali, saya berikrar Reformasi ke Putrajaya adalah untuk rakyat. Kebajikan untuk rakyat dan keadilan untuk rakyat adalah matlamat kita. Tidak ada tempat untuk kepentingan diri dan kelompok dalam agenda Reformasi ke Putrajaya.
Saya mengajak rakan-rakan semua merenung ikrar Nabi Syuib alaihisalam yang menjadi sumber ilham kepada Perisytiharan Permatang Pauh:
In uridu illal islah mastata’tum
“Tiada yang aku mahu kecuali melakukan islah -reformasi- sedaya upayaku.”
Sekian, Wassalam.
MOHAMED AZMIN ALI
Calon Timbalan Presiden KEADILAN
16 Oktober 2010 (Sabtu)
Auditorium, Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya, Selangor

Menyorot Kembali Deklarasi Permatang Pauh

DEKLARASI PERMATANG PAUH
Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud "tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami";
Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat; Dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat dan memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula; Maka kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekat untuk melancarkan gerakan reformasi yang menyeluruh:
Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani,dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram di belenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;
Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;
Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi. Demokrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;
Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi,menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu;
Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan mahakaya;
Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;
Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.
Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.
Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi.
Permatang Pauh
12 September 1998